Pengenalan
PENGENALAN
Penubuhan Bahagian Audit Dalam adalah ditetapkan melalui kehendak Pekeliling Perbendaharaan Malaysia, PS 3.1 (Pelaksanaan Audit Dalam Di Kementerian Atau Jabatan Persekutuan dan Kerajaan Negeri) dan Surat Ketua Setiausaha Perbendaharaan bertarikh 5 Mei 2009. Bahagian Audit Dalam menjalankan tugas secara bebas dan berperanan untuk membantu pihak pengurusan memantapkan lagi akauntabiliti, tadbir urus dan integriti dengan mengeluarkan Laporan Audit yang objektif. Selain itu, Bahagian Audit Dalam juga memberi kepastian dan khidmat perundingan kepada Auditi melalui ceramah/bengkel bagi mempertingkatkan tahap kecekapan, keberkesanan dan perbelanjaan secara berhemah. Bahagian Audit Dalam, Kementerian Dalam Negeri diketuai oleh Ketua Audit Dalam Gred Utama C yang bertanggungjawab terus kepada Ketua Setiausaha Kementerian.
MAKLUMAT PERKHIDMATAN
Bahagian Audit Dalam, Kementerian Dalam Negeri adalah bertanggungjawab untuk:
1. Mengkaji kebolehpercayaan dan keberkesanan sistem kewangan serta kawalan dalaman;
2. Mengkaji tahap pematuhan dasar, undang-undang, peraturan dan arahan yang berkuat kuasa;
3. Mengkaji program/aktiviti diuruskan secara berhemat, cekap dan berkesan;
4. Mengkaji aset dan kepentingan dilindungi dari segi kehilangan, penipuan dan penyelewengan;
5. Memberi nasihat/pandangan mengenai kawalan dalaman terhadap semua sistem termasuk ICT;
6. Melaporkan hasil pengauditan dan mengambil tindakan susulan bagi perkara yang dibangkitkan;
7. Menyediakan Rancangan Audit Tahunan dan Laporan Tahunan Audit Dalam;
8. Menyediakan Laporan Audit kepada pihak pengurusan Kementerian/Jabatan /Agensi; dan
9. Membentangkan Laporan Audit Dalam di Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun serta Mesyuarat Jawatankuasa Audit.